JOHOR BAHRU – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, hilang kelayakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Perkara itu disahkan peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, yang berkata hukuman denda tersebut menyebabkan Chegubard hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, pihak pembelaan menghormati keputusan mahkamah walaupun sebelum ini memohon supaya Chegubard tidak dikenakan hukuman penjara serta jumlah denda tidak melebihi RM2,000.
“Kita memohon supaya Chegubard tidak dikenakan hukuman penjara dan Alhamdulillah, mahkamah tidak menjatuhkan hukuman itu.
“Pada masa sama, kita turut memohon supaya jumlah denda tidak melebihi RM2,000 kerana mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, mana-mana individu yang dikenakan denda RM2,000 atau lebih akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding keputusan di sini.
Muhammad Rafique berkata, pihaknya turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Chegubard telah diberi amanah oleh Parti Wawasan Negara (WAWASAN) untuk bertanding dalam PRN Negeri Sembilan.
Parti WAWASAN sebelum ini dilaporkan baharu diterima menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Kita juga sudah memaklumkan secara terbuka kepada mahkamah bahawa pada 18 Julai ini, Chegubard diberikan amanah oleh Parti Wawasan Negara, parti yang baharu diterima menyertai Perikatan Nasional, untuk bertanding dalam PRN Negeri Sembilan.
“Namun, dengan hukuman denda RM5,000 ini, Chegubard tidak lagi boleh bertanding. Itulah keputusan mahkamah dan kami akur serta menghormatinya,” katanya.
Beliau bagaimanapun memaklumkan pihak pembelaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu dalam masa terdekat.
“Saya berpendapat kami mempunyai asas yang kukuh untuk rayuan dan berharap doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar Chegubard berjaya dalam rayuan di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Chegubard, 48, selepas beliau didapati bersalah atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut dua tahun lalu.
Hakim Rasidah Roslee membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan Chegubard dipenjara selama 20 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan penerbitan menghasut menerusi media sosial kira-kira jam 6.30 petang pada 26 April lalu.
Menerusi hantaran itu, beliau didakwa mengaitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; serta dua individu yang didakwa sebagai taikun judi dengan projek kasino di Forest City.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Perkembangan itu mencetuskan perhatian politik kerana Chegubard sebelum ini disebut sebagai antara nama yang bakal ditampilkan dalam PRN Negeri Sembilan.
Dengan keputusan mahkamah hari ini, perancangan PN dan WAWASAN untuk menurunkan beliau sebagai calon kini berdepan halangan besar, tertakluk kepada proses rayuan yang akan difailkan pihak pembelaan.
PRN Negeri Sembilan ke-16 dijadual menyaksikan hari penamaan calon pada 18 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos depan.
Kes Chegubard ini dijangka menjadi antara isu yang terus dipantau dalam tempoh menuju hari penamaan calon, khususnya berkaitan kedudukan calon PN-WAWASAN serta strategi parti itu selepas keputusan mahkamah tersebut.





