KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu mula memikirkan secara serius hala tuju politiknya dengan mengambil pendirian lebih radikal dan berani demi memastikan kelangsungan parti dalam landskap politik semasa.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, berkata masa sudah tiba untuk BN membuat keputusan yang mampu menentukan masa depan parti serta memberi kesan besar terhadap landskap politik negara.
Menurutnya, keputusan BN menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan satu bentuk pengorbanan politik yang tidak boleh dinafikan.
“Selepas pasca PRU15, BN dengan berat hati dan dilema yang amat sangat meleburkan perjuangan politiknya dengan mengangkat dan menjunjung titah YDPA untuk menubuhkan kerajaan bersama PH dengan 30 Ahli Parlimennya.
“Ini budi BN yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa pun yang menjadikan DSAI sebagai PMX,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Gulam mendakwa hubungan politik antara kedua-dua gabungan itu kini semakin mencabar, malah menyifatkan BN seolah-olah membalas “air susu budi” yang diberikan dengan “air tuba”.
Beliau berkata, sepanjang lebih tiga tahun berada dalam kerajaan, BN memilih untuk bertahan, berdiam diri dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti.
Menurutnya, kebangkitan sokongan terhadap BN dalam beberapa pilihan raya kecil dan negeri turut menyebabkan parti itu dilihat sebagai satu ancaman politik.
“Bila BN menang di PRK Nenggiri, Mahkota, PRN Johor, N9 dan insya-Allah selepas ini di Melaka, mereka mula beranggapan BN sebagai ancaman dan musuh yang perlu ‘disembelih’ walaupun rakan dalam kerajaan.
“Itu motif sebenar mereka. Kehilangan kuasa membuat mereka meroyan dan menjadi igauan buruk buat PH,” katanya.
Gulam turut mengkritik PH dengan mendakwa kelemahan dasar, kesilapan percaturan politik, ketiadaan keikhlasan, intimidasi politik dan ketamakan kuasa akan menjadi antara faktor yang menyebabkan gabungan itu ditolak rakyat.
Bagaimanapun, dakwaan berhubung penerimaan atau penolakan rakyat tersebut merupakan pandangan politik beliau dan tidak disertakan dengan data sokongan dalam kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berpandangan BN tidak seharusnya terus bergantung kepada PH sekiranya kerjasama tersebut dilihat tidak lagi memberikan manfaat kepada kelangsungan politik parti.
“Adalah sesuatu perkara yang paling bodoh di dalam percaturan politik, jika kita masih mahu bergantung kepada parti (PH) yang mencari nahas dengan menggali kubur mereka sendiri.
“Itulah PH,” katanya.
Gulam berkata BN sebelum ini tidak melakukan serangan balas walaupun mendakwa parti itu berdepan pelbagai tekanan politik.
“Akhir kata, tetapi masanya telah tiba, BN sudah boleh memikir secara serius halatujunya untuk lebih radikal dan berani dalam situasi politik masa kini.
“Keputusan yang diambil selepas ini bakal merubah keseluruhan landskap dan diagram politik Malaysia,” katanya.
Beliau berkata akar umbi BN kini menantikan tindakan politik yang bakal diambil kepimpinan parti.
“Dalam soal ini BN perlu ‘selfish’ demi survivalnya,” katanya.





