The Malaysian Desk

News – Analysis – Perspective

Politik

Ruang Untuk PAS & BERSATU Berdamai Sudah Tertutup – Hadi Awang

MARANG: Hubungan PAS dan BERSATU dilihat sukar diselamatkan apabila PAS menganggap ruang untuk berdamai sudah tertutup susulan tindakan BERSATU bertanding menentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata pendirian itu turut mengambil kira kenyataan pemimpin BERSATU mengenai kemungkinan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Melaka.

“Ya lah, pada dasarnya dia (BERSATU) lawan kita pada PRN Negeri Sembilan. Dan ada kenyataan nak ikut bersama dengan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika ditanya sama ada ruang untuk berdamai antara kedua-dua parti itu sudah tertutup atau sebaliknya.

Pada 8 Jun lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS memutuskan untuk mengakhiri hubungan kerjasama politik dengan BERSATU selepas meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik antara kedua-dua parti berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.

Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, BERSATU menggunakan lambangnya sendiri selepas mendakwa tidak dilibatkan dalam perbincangan pembahagian kerusi PN.

Ketua Penerangan BERSATU Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, dilaporkan berkata parti itu terbuka untuk mengadakan rundingan dengan parti lain yang mempunyai persamaan termasuk PH menjelang PRN Melaka

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *