Wacana untuk Malaysia.25 November 2026/RSS ↗
The Malaysian Desk
INDEPENDENT PERSPECTIVES

Berita. Perspektif. Malaysia.

Dewan Rakyat Itu Bukan Tempat Untuk Anak Beranak – Nurulhidayah Zahid

Admin2 min bacaan

KUALA LUMPUR: Ahli Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak akan bertanding kerusi Parlimen selagi bapanya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, masih berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Beliau berkata, keputusan itu selari dengan prinsip yang dipegangnya bahawa Parlimen bukan tempat untuk mengamalkan politik kekeluargaan.

Katanya, pendirian itu turut didukung bapanya yang tidak mahu beliau bertanding di peringkat Parlimen bagi mengelakkan persepsi bahawa institusi berkenaan menjadi medan untuk anak beranak.

“Abah memang tidak mahu saya bertanding di Parlimen kerana abah tidak mahu orang fikir Parlimen ini tempat anak beranak.

“Jadi, saya perlu hormat abah sebagai bapa yang ada prinsip tersendiri. Kalau hendak bertanding pun, mungkin saya pergi ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Nurulhidayah menggesa jentera Barisan Nasional (BN) supaya terus memperkukuhkan gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya akan datang meskipun beberapa pemimpin parti kini berdepan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, apa juga bentuk kerjasama politik yang bakal diputuskan BN tidak seharusnya menjejaskan usaha jentera parti di peringkat akar umbi.

Menurutnya, pelbagai isu semasa termasuk siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) serta tindakan terhadap pemimpin BN menyebabkan gerak kerja parti sedikit sebanyak terjejas.

“Adanya isu-isu yang berlaku, RCI terkait Lembaga Tabung Haji lah, ‘sakau’ lah, pemimpin kita dikenakan tindakan, semua ini akan membuatkan gerak kerja kita ini terhenti seketika.

“Sepatutnya sekarang ini bila kita hendak ke arah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, gerak kerja sudah berjalan tetapi sebab perkara sebegini membuatkan gerak kerja itu terbantut, terbatas dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap seluruh jentera BN meneruskan perancangan yang telah disusun bersama bahagian masing-masing tanpa membiarkan perkembangan semasa melemahkan semangat parti.

Nurulhidayah turut mengingatkan bahawa UMNO dan BN pernah melalui pelbagai cabaran sejak kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, termasuk tekanan terhadap kepimpinan parti.

Beliau yakin pengalaman berkenaan tidak akan mematahkan semangat UMNO untuk terus mendekati rakyat serta berusaha memenangi hati pengundi pada PRU ke-16.

“Cuba bayangkan, apa yang pucuk pimpinan kita tidak lalui? Baik ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Naib Presiden, Timbalan Presiden, hatta Presiden sekali pun.

“Saya bukan hendak sebut ini perkara kecil, tetapi saya yakin ia tidak melemahkan semangat UMNO untuk terus bergerak dan menang hati rakyat pada PRU16 ini,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM1 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing pada 2022.

Perbincangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *