Wacana untuk Malaysia.25 November 2026/RSS ↗
The Malaysian Desk
INDEPENDENT PERSPECTIVES

Berita. Perspektif. Malaysia.

UMNO Buka Ruang Rundingan Dengan Semua Parti, Syarat Mesti Ikhlas Dan Dipercayai

Admin2 min bacaan

KUALA LUMPUR: UMNO menyerahkan kepada kepimpinan parti di peringkat negeri untuk mengadakan perbincangan dan rundingan dengan mana-mana parti politik yang berminat menjalinkan kerjasama menghadapi pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Jumaat.

Beliau berkata, keputusan berkenaan mengambil kira pelbagai kajian empirikal yang menunjukkan sentimen rakyat, khususnya orang Melayu, yang mahukan usaha penyatuan ummah direalisasikan.

Katanya, kepentingan dan kedudukan Melayu juga dilihat sebagai antara elemen penting dalam memastikan kestabilan politik negara.

“Sebarang rundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, di sini, Jumaat.

Sebelum ini, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, memaklumkan strategi berkaitan jajaran politik baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT.

Beliau berkata, perbincangan itu akan memberi tumpuan kepada strategi terbaik bagi memastikan kemenangan BN pada PRN berkenaan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan UMNO kekal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan yang dilakukan oleh ahli mahupun pemimpin parti.

Bagaimanapun, katanya, seseorang yang ditahan untuk membantu siasatan tidak boleh dianggap bersalah selagi belum melalui proses perbicaraan dan disabitkan oleh mahkamah.

“Sebarang tindakan untuk memalukan atau menghina seseorang, termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan telah pun bersalah, adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, anggapan tidak bersalah serta semangat kedaulatan undang-undang,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika beberapa pemimpin UMNO berdepan tindakan SPRM susulan siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), termasuk bekas Pengerusi TH yang baru-baru ini direman bagi membantu siasatan.

Perbincangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *