KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menafikan dakwaan kementerian itu berbelanja melebihi peruntukan diluluskan, sebaliknya menjelaskan isu pembayaran kontraktor berpunca daripada komitmen projek terdahulu yang dibawa ke tahun berikutnya.
Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri KKDW, Fadzmel Fadzil berkata, kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung peruntukan kementerian berkenaan tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar.
Beliau berkata, tatacara kewangan kerajaan tidak membenarkan kementerian membuat perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan, dengan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan termasuk Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS).
“Setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan.
“Penggunaan istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ memberi gambaran yang tidak tepat terhadap apa yang sebenarnya berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadzmel berkata, data bagi 2019 hingga 2021 juga perlu diambil kira bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kedudukan komitmen projek, peruntukan dan pembayaran.
Katanya, dalam tempoh berkenaan, sebahagian projek terjejas akibat pandemik COVID-19, namun Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tertentu sudah dikeluarkan dan komitmen kontrak telah wujud.
“Apabila projek-projek berkenaan kembali berjalan, tuntutan pembayaran daripada kontraktor turut dibawa ke tahun-tahun berikutnya.
“Apabila kerja telah dilaksanakan kontraktor, kerajaan mempunyai tanggungjawab membuat pembayaran mengikut kemajuan kerja dan obligasi kontrak,” katanya.
Menurutnya, projek yang sudah dimulakan tidak boleh dihentikan begitu sahaja hanya kerana peruntukan tahunan hampir digunakan sepenuhnya.
Beliau berkata, KKDW turut mengambil beberapa langkah kawalan awal termasuk menyusun semula peruntukan dalaman, mengehadkan komitmen baharu serta membatalkan tender berimpak tinggi kepada masyarakat desa.
Katanya, kementerian juga mengemukakan permohonan rasmi kepada MoF pada suku kedua 2026 bagi menampung keperluan pembayaran tertangguh untuk projek yang sedang berjalan.
RM300 juta bukan peruntukan tambahan
Mengulas kelulusan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor, Fadzmel berkata, jumlah itu bukan peruntukan tambahan baharu seperti yang dinyatakan MoF.
Sebaliknya, katanya, RM300 juta itu adalah peruntukan yang sewajarnya disalurkan dan diberikan melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB) yang dikeluarkan pada petang 1 September 2026.
“RM300 juta tersebut bukan peruntukan tambahan, sebaliknya merupakan peruntukan yang sewajarnya disalurkan dan telah pun diberikan melalui SKB.
“Peruntukan ini bagi menampung komitmen dan tunggakan pembayaran yang dibawa daripada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menghargai kelulusan dan penyaluran RM300 juta berkenaan, namun mengakui jumlah itu masih belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan keperluan pembayaran.
Menurutnya, pelarasan hanya akan dibuat pada penghujung 2026 berdasarkan penjimatan atau lebihan baki peruntukan kementerian lain.
Fadzmel turut menjelaskan bahawa peruntukan berkenaan tidak dibayar secara terus oleh KKDW kepada kontraktor, sebaliknya disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) atau agensi penyelia pelaksanaan projek.
“Perkara ini tidak seharusnya menjadi pertikaian antara kementerian. Apa yang lebih penting ialah mencari penyelesaian segera terhadap komitmen pembayaran yang telah wujud.
“KKDW akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencari penyelesaian menyeluruh supaya segala komitmen kerajaan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.


Perbincangan