
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekadar copy paste daripada pelbagai tawaran yang lebih awal diketengahkan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, selepas meneliti manifesto yang dilancarkan PH, beberapa tawaran utama termasuk berkaitan perumahan, golongan muda, ekonomi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) didakwa mempunyai persamaan dengan agenda yang telah diumumkan BN.
“Saya tunggu seminggu manifesto mereka. Rupa-rupanya banyak yang copy paste. Kalau berkaitan rumah, anak muda, ekonomi dan PKS, saya tengok banyak yang sama.
“Jadi, kalau rakyat Johor diberi pilihan, pilihlah yang ori, jangan pilih yang copy paste,” katanya ketika berucap pada Himpunan Anak Tiram di Kota Masai malam tadi.
Khairy berkata, BN mempunyai rekod mentadbir Johor dan memahami keperluan rakyat negeri itu, justeru tawaran yang dibawa gabungan berkenaan disifatkan lebih berasaskan pengalaman serta keupayaan untuk dilaksanakan.
Menurutnya, rakyat juga bijak menilai parti yang benar-benar membawa idea serta perancangan sendiri berbanding sekadar mengulangi cadangan yang telah dikemukakan pihak lain.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya tidak melayan cabaran debat daripada pihak lawan kerana berpendapat, ia hanya akan mengalihkan tumpuan daripada usaha mendekati rakyat sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, debat hanya wajar diadakan antara individu yang mempunyai kedudukan dan mandat yang setara terutama apabila melibatkan jawatan Menteri Besar.
“Saya bukan hendak memperkecilkan sesiapa. Bukan soal kelayakan atau akademik, tetapi soal mandat. Kalau hendak berdebat mengenai pentadbiran negeri, biarlah antara mereka yang menawarkan diri sebagai Menteri Besar,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan jentera BN supaya tidak terlalu yakin sepanjang baki tempoh berkempen sebaliknya terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada hari pengundian 11 Julai nanti.
Khairy berkata, kemenangan di Johor penting sebagai pemangkin kepada kebangkitan semula BN untuk menghadapi pilihan raya di negeri-negeri lain pada masa akan datang.


