The Malaysian Desk

News – Analysis – Perspective

Politik

‘Kalah Pun PM?’ Kenyataan Anwar Cetus Reaksi

Beberapa pemimpin parti politik menegur kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa berbaur bongkak apabila menyatakan beliau kekal sebagai Perdana Menteri tanpa mengira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Kenyataan itu susulan ucapan Anwar yang mengingatkan pihak tertentu supaya lebih cermat apabila mengulas mengenai dirinya kerana beliau tetap memegang jawatan Perdana Menteri sama ada Pakatan Harapan (PH) menang atau kalah dalam PRN Johor.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak wajar dan mengingatkan bahawa keputusan pilihan raya tetap mempunyai implikasi politik.

“PMX kata menang di Johor saya masih Perdana Menteri, kalah pun saya masih Perdana Menteri.

“Ya, tapi jika kalah ia semakin mendekatkan Datuk Seri untuk jadi XPM. Jangan bongkak,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin turut mengkritik kenyataan berkenaan dengan menyifatkan ungkapan sedemikian tidak sesuai dilontarkan oleh pemimpin nombor satu negara.

Menurut beliau, semua pihak menghormati Anwar sebagai seorang pemimpin yang lebih berusia dan berpengalaman, namun perbahasan politik perlu berasaskan fakta.

“Dia cakap, kalau dia kalah PRN Johor pun dia masih Perdana Menteri.

“Ok lah, jadi kita pun tak payah pening-pening, kita kekal Biru di Johor,” katanya secara sinis.

Terdahulu, Anwar ketika berkempen di Johor berkata beliau bukan hadir untuk mencari gaduh, sebaliknya mahu memastikan agenda pembangunan terus dilaksanakan di negeri itu, sambil menegaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak bergantung kepada keputusan PRN Johor.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *