The Malaysian Desk

News – Analysis – Perspective

Politik

PRN Johor: Lebih 300,000 Pengundi Luar Dijangka Pulang, LLM Nasihat Rancang Perjalanan

KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan lebih 300,000 pengundi luar akan pulang ke Johor bagi menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini.

Peningkatan jumlah pergerakan pengundi itu dijangka menyumbang kepada aliran trafik lebih tinggi di lebuh raya, khususnya laluan utama memasuki dan melalui negeri Johor.

Pengerusi LLM, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, pengguna lebuh raya yang bercadang memasuki Johor dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Menurut beliau, bagi memastikan perjalanan lebih selamat dan lancar, kerja-kerja melibatkan penutupan lorong di lebuh raya akan ditangguhkan pada hari pengundian, kecuali bagi kerja-kerja kecemasan.

“LLM juga menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan melalui aplikasi TuJu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memastikan baki Touch ‘n Go, e-dompet dan kad debit mencukupi.

“Pengguna juga perlu mematuhi had laju dan berhati-hati di kawasan pembinaan lorong ketiga di Lebuhraya Utara-Selatan di antara Simpang Renggam hingga Senai Utara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasni turut mengingatkan pengguna supaya mematuhi arahan ketika pengaktifan smartlane serta mendapatkan rehat secukupnya di kawasan rehat dan rawat (R&R) atau hentian sebelah yang disediakan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik semasa dan menyemak sebarang insiden lebuh raya menerusi Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, TikTok @llmtrafik atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

Selain itu, paparan keadaan trafik secara langsung melalui kamera litar tertutup (CCTV) di semua lebuh raya boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi LLM di www.llm.gov.my serta Saluran WhatsApp LLM Info Trafik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16, manakala hari penamaan calon berlangsung pada 27 Jun lalu.

Sumber asal: Bernama
Disusun semula oleh: The Malaysian Desk

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *