BATU PAHAT – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N25 Rengit, Zaidi Japar menegaskan bahawa masyarakat Rengit selama ini hidup dalam suasana harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Menurut beliau, semangat Bangsa Johor yang diamalkan rakyat negeri ini menjadi asas kepada hubungan baik antara masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli di kawasan tersebut.
“Rengit ataupun Johor, ataupun Bangsa Johor, tidak pernah ada masalah kaum. Masyarakat majmuk di sini hidup aman damai,” katanya dalam satu rakaman video yang tular di media sosial.
Zaidi berkata, walaupun Rengit merupakan kawasan majoriti Melayu dengan kira-kira 80 peratus penduduk, kawasan itu turut mempunyai masyarakat Cina, India dan Orang Asli yang menjadi sebahagian penting daripada komposisi sosial setempat.
Jelas beliau, keunikan Rengit bukan hanya terletak pada kedudukannya sebagai kawasan luar bandar yang mempunyai identiti tersendiri, tetapi juga pada hubungan masyarakatnya yang saling menerima dan menghormati antara satu sama lain.
“Orang Cina Rengit yang duduk di kampung atau di bandar, tidak ada masalah. Saya keluar berjumpa mereka dan saya diterima baik oleh semua golongan kaum, termasuk Orang Asli,” katanya.
Kenyataan itu dilihat membawa mesej jelas bahawa Rengit memerlukan politik yang menyatukan rakyat, bukan politik yang cuba menimbulkan rasa curiga antara kaum.
Dalam suasana pilihan raya, isu perpaduan masyarakat menjadi antara perkara penting yang sering diberi perhatian pengundi, khususnya di kawasan yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum.
Bagi penduduk Rengit, keharmonian yang telah dibina sekian lama perlu terus dipertahankan melalui kepimpinan yang memahami denyut nadi masyarakat tempatan.
Zaidi turut dilihat cuba membawa pendekatan kempen yang lebih dekat dengan rakyat, dengan memberi penekanan kepada hubungan baik antara kaum, penerimaan masyarakat setempat dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Rengit.
Pendekatan itu selari dengan aspirasi Bangsa Johor yang menekankan kesederhanaan, kestabilan dan kehidupan bermasyarakat secara aman tanpa dipengaruhi sentimen perkauman sempit.
Dengan latar belakang masyarakat Rengit yang majmuk, mesej keharmonian yang dibawa Zaidi menjadi antara naratif penting dalam usaha BN mengekalkan sokongan rakyat di kawasan tersebut.
Dalam masa sama, kenyataan beliau juga memberi isyarat bahawa politik Rengit tidak wajar dibentuk atas dasar perpecahan, sebaliknya perlu terus berpaksikan khidmat, hubungan baik dan kepercayaan antara pemimpin dengan rakyat.





