KUALA PILAH: Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Pilah, Rusli Sharif, mengumumkan peletakan jawatannya sebelum menyatakan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.18 Pilah, S. Leza Md Yasin.
Pengumuman mengejutkan itu dibuat menerusi satu rakaman video yang diterima The Malaysian Desk, hanya beberapa hari sebelum rakyat Negeri Sembilan keluar mengundi pada 1 Ogos ini.
Beliau merupakan antara aktivis awal gerakan Reformasi 1998 dan terlibat dalam usaha membina dan mengembangkan PKR di Kuala Pilah sejak peringkat awal penubuhan parti berkenaan.
Dalam rakaman tersebut, beliau mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan dalam parti dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada S. Leza, calon BN yang bertanding di DUN Pilah.
Keputusan itu dijangka memberi kesan kepada kempen Pakatan Harapan (PH) di Pilah kerana ia bukan sekadar melibatkan seorang penyokong biasa, sebaliknya seorang pemimpin cabang yang mendakwa mempunyai sejarah panjang bersama perjuangan Reformasi dan perkembangan awal PKR di kawasan Kuala Pilah.
DUN Pilah menyaksikan pertandingan dua penjuru antara S. Leza yang mewakili BN dengan calon PH yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.
Pengumuman tersebut juga muncul ketika kempen memasuki fasa akhir dan kedua-dua gabungan sedang meningkatkan usaha untuk memenangi pengundi atas pagar serta penyokong parti yang masih belum membuat keputusan.
Sokongan terbuka daripada seorang pemimpin tempatan PKR kepada calon BN berpotensi mencetuskan persoalan mengenai tahap keyakinan akar umbi terhadap calon dan kepimpinan PH di Kuala Pilah.
Setakat artikel ini diterbitkan, belum terdapat kenyataan rasmi daripada PKR Cabang Kuala Pilah atau kepimpinan PKR Negeri Sembilan mengenai pengumuman peletakan jawatan dan sokongan tersebut.
The Malaysian Desk sedang mendapatkan pengesahan lanjut, termasuk salinan surat peletakan jawatan dan penjelasan rasmi daripada pihak berkaitan.
— The Malaysian Desk





