SEREMBAN: Pemerintah Bersama Negeri Sembilan mendakwa Menteri Besar, Dato’ Ismail Lasim telah menandatangani Surat Cara Proklamasi berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Dalam kenyataan media segera Sekretariat Undang Yang Empat bertarikh 5 September, mereka menuntut Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan serta seluruh pentadbiran kerajaan negeri mematuhi proklamasi berkenaan yang didakwa ditandatangani Ismail pada 3 Ogos lalu.
Kenyataan itu ditandatangani Undang Luak Sungei Ujong, YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak; Undang Luak Jelebu, YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Haji Maarof bin Haji Mat Rashad; Undang Luak Johol, YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed bin Haji Abdullah; serta Undang Luak Rembau, YTM Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin.
Turut menandatangani kenyataan itu ialah Tunku Besar Tampin, YTM Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong, YAM Dato’ Seri Utama Haji Badarudin bin Abd Khalid.
Menurut kenyataan bertajuk “Sidang Khas dan Pengumuman Surat Cara Proklamasi Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959”, Ismail didakwa menandatangani dan melengkapkan Surat Cara Proklamasi di bawah Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Ia didakwa dilakukan ketika beliau menghadap Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar yang dinyatakan dalam kenyataan itu sebagai Raja Pemerintah Negeri Sembilan yang sah menurut UUTKNS.
Kenyataan itu mendakwa semua Undang Yang Empat terlebih dahulu menandatangani proklamasi serta menurunkan cop mohor masing-masing pada 19 April lalu bagi mengisytiharkan penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Surat Cara Proklamasi yang kemudiannya didakwa ditandatangani Menteri Besar itu antara lain merujuk kepada pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan secara sebulat suara oleh Undang Yang Empat mengikut Perkara 10(1)(b) UUTKNS.
Kenyataan berkenaan turut mendakwa bekas Yang di-Pertuan Besar tidak pernah mencabar di mahkamah kesempurnaan penurunan takhta pada 19 April mengikut Perkara 10(2) UUTKNS.
Dakwa mesyuarat DKU tidak sah
Dalam pada itu, Pemerintah Bersama Negeri Sembilan mendakwa mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu tidak sah.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan dipanggil oleh mantan Yang di-Pertuan Besar tanpa kehadiran Undang Yang Empat yang disahkan mengikut rekod rasmi setakat 30 Julai, selain Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.
Sehubungan itu, mereka menegaskan permuafakatan Undang Yang Empat untuk menjalankan prerogatif di bawah Perkara 10(2) UUTKNS pada 19 April bagi menurunkan Tuanku Muhriz adalah sempurna mengikut peruntukan undang-undang tubuh negeri.
Susulan dakwaan tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos terhadap proklamasi yang dibuat pada 19 April itu, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin memutuskan supaya proklamasi berkenaan dikuatkuasakan serta-merta.
Mereka berkata tindakan itu perlu bagi memelihara kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.
Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan semua anggota pentadbiran kerajaan negeri dituntut mematuhi proklamasi berkenaan serta-merta serta menjunjung keluhuran Perlembagaan.
Nota editorial: Kandungan ini berdasarkan dakwaan dalam kenyataan Sekretariat Undang Yang Empat. Dakwaan berhubung status takhta, kesahan proklamasi dan tindakan Menteri Besar wajar dianggap sebagai dakwaan pihak berkenaan sehingga mendapat pengesahan atau penjelasan rasmi daripada pihak yang dinamakan.


Perbincangan