KOTA BHARU: Hubungan antara UMNO dan PAS kembali menjadi perhatian apabila Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, minggu depan.
Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi isyarat keterbukaan kedua-dua parti Melayu terbesar negara untuk merapatkan hubungan, selepas pimpinan UMNO turut hadir pada Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Perkara itu dikongsikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di media sosial selepas beliau menghadiri muktamar berkenaan mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Asyraf, Abdul Hadi memaklumkan kepadanya bahawa PAS akan hadir pada perhimpunan UMNO minggu depan.
“Perhimpunan UMNO minggu depan PAS akan hadir, Insya-Allah!”
Asyraf turut memaklumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan harapan supaya usaha penyatuan antara kedua-dua parti kali ini dapat direalisasikan.
“Insya-Allah kali ini kena pastikan penyatuan ummah benar-benar jadi,” kata Tuan Ibrahim seperti dipetik Asyraf.
Asyraf berkata, rakyat sememangnya mengharapkan dua parti terbesar Melayu dan Islam itu dapat berpakat serta bekerjasama.
Katanya, keikhlasan dan kepercayaan antara kedua-dua pihak menjadi perkara paling penting dalam usaha berkenaan, selain kerjasama yang berteraskan prinsip serta panduan agama.
Beliau mengetuai rombongan UMNO ke muktamar PAS berkenaan bagi mewakili Ahmad Zahid yang tidak dapat hadir pada saat akhir.
Turut menyertai rombongan itu ialah Ketua UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Alwi Che Ahmad.
Kehadiran pimpinan UMNO pada muktamar PAS dilihat mengulangi kembali keterbukaan hubungan antara kedua-dua parti yang pernah bekerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu itu belum boleh dianggap sebagai pengumuman rasmi mengenai pembentukan kerjasama politik baharu antara UMNO dan PAS.
Sebelum ini, UMNO memutuskan untuk menjemput kepimpinan tertinggi PAS menghadiri PAU 2026 sebagai tanda penghormatan, selain membalas jemputan PAS kepada pimpinan UMNO untuk menghadiri muktamar parti itu.
PAU 2026 dijadual berlangsung selama empat hari dari 9 hingga 12 September, dengan seramai 6,401 perwakilan dijangka menghadirinya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini turut mengesahkan beliau akan menghadiri PAU berkenaan, manakala barisan wakil lain akan ditentukan oleh parti.


Perbincangan