SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan mengambil maklum dan memandang serius perkembangan terbaru berhubung proklamasi yang menyentuh kedudukan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dalam kenyataan hari ini turut mengambil maklum penjelasan dan pendirian dikemukakan Undang Yang Empat dalam sidang media semalam.
UMNO Negeri Sembilan menegaskan perkara membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar bukan sesuatu yang boleh ditentukan oleh mana-mana parti politik, kerajaan negeri atau individu secara bersendirian.
Sebaliknya, parti itu berpandangan perkara berkenaan perlu dilihat dan diselesaikan dalam kerangka adat, prerogatif serta peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan unik negeri itu.
“Sebarang persoalan berkaitan kedudukan institusi negeri hendaklah diselesaikan melalui saluran adat dan perundangan yang sah, telus serta menghormati struktur Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, UMNO Negeri Sembilan tidak mahu rakyat terus dibebankan dengan pertikaian yang berpanjangan, sebaliknya menegaskan kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan keharmonian masyarakat mesti kekal menjadi keutamaan.
Sebagai parti yang menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu, UMNO Negeri Sembilan berkata pihaknya akan terus mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan, selain menghormati adat dan perlembagaan negeri.
Sehubungan itu, UMNO Negeri Sembilan akan mengadakan mesyuarat khas selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2026 bagi menyelaras isu berkaitan adat berkenaan secara harmoni.
“UMNO Negeri Sembilan menyeru seluruh rakyat supaya kekal tenang dan memberikan ruang kepada proses yang sewajarnya untuk berjalan,” menurut kenyataan itu.
Perkembangan itu berlaku ketika isu proklamasi yang dikaitkan dengan kedudukan Tuanku Muhriz menjadi perhatian susulan penjelasan Undang Yang Empat mengenai perkara berkenaan.





