KUALA LUMPUR, 14 Sept — Pertuduhan terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan menimbulkan persoalan lebih besar mengenai tahap liabiliti jenayah yang boleh dikenakan terhadap seseorang menteri dalam membuat keputusan pelaburan kerajaan.
Setiausaha Penerangan UMNO, Dato’ Suraya Yaacob berkata persoalan utama yang perlu diperjelaskan ialah sama ada seorang menteri boleh dianggap melakukan kesalahan dishonest misappropriation hanya kerana memberikan kelulusan terhadap suatu pelaburan yang akhirnya mengalami kerugian.
“Kalau jawapannya ya, precedent ini sangat berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jamil Khir hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan melibatkan RM860.3 juta dana Lembaga Tabung Haji (TH).
Pertuduhan antaranya mendakwa beliau secara tidak jujur menyebabkan TH melupuskan wang kepada Al-Rawda Real Estate Development and Projects Management Co Ltd bagi urusan pelaburan hartanah di Arab Saudi.
“Di mana unsur tidak jujur?”
Suraya berkata keputusan pelaburan institusi seperti Tabung Haji bukan dibuat seorang menteri secara bersendirian, sebaliknya melalui beberapa peringkat pengurusan dan tadbir urus sebelum sampai kepada pihak yang mempunyai kuasa memberikan kelulusan.
Menurut beliau, proses itu lazimnya melibatkan pengurusan, penilaian profesional, jawatankuasa berkaitan pelaburan, Panel Pelaburan serta Lembaga Tabung Haji sebelum sesuatu perkara dikemukakan kepada menteri.
Justeru, katanya, persoalan penting yang perlu dibuktikan dalam proses perundangan ialah apakah bentuk ketidakjujuran yang didakwa berlaku ketika keputusan tersebut dibuat.
“Bukan sekadar pelaburan dibuat, Menteri tandatangan, pelaburan rugi, maka Menteri melakukan jenayah.
“Itu bukan standard yang sepatutnya digunakan dalam undang-undang jenayah,” katanya.
Seksyen 403 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur, termasuk menyebabkan orang lain melupuskan sesuatu harta.
Mahkamah Persekutuan dalam satu penghakiman berkaitan Seksyen 403 sebelum ini turut menghuraikan bahawa perbuatan menyalahgunakan atau menukar penggunaan harta merupakan elemen perbuatan kesalahan, manakala elemen mental yang perlu dibuktikan ialah dishonesty.
Suraya berkata perkara itu penting kerana kerugian yang diketahui beberapa tahun selepas sesuatu keputusan dibuat tidak sepatutnya secara automatik digunakan untuk membuktikan niat tidak jujur ketika keputusan asal dibuat.
“Investment risk is not criminal intent,” katanya.
Risiko wujud budaya menteri takut membuat keputusan
Menurut Suraya, implikasi isu berkenaan jauh melangkaui kes Jamil Khir kerana ia boleh mempengaruhi bagaimana menteri dan pembuat dasar membuat keputusan pada masa hadapan.
Beliau memberikan contoh situasi apabila sesuatu cadangan pelaburan telah mendapat sokongan pegawai profesional, jawatankuasa pelaburan dan lembaga berdasarkan maklumat yang tersedia pada ketika itu, sebelum memperoleh kelulusan menteri.
Sekiranya keadaan pasaran berubah beberapa tahun kemudian sehingga menyebabkan syarikat atau pelaburan berkenaan gagal, katanya, timbul persoalan sama ada tandatangan menteri pada peringkat akhir kelulusan sahaja mencukupi untuk mewujudkan tanggungan jenayah.
“Kalau itu prinsipnya, siapa Menteri yang akan berani membuat keputusan?
“Menteri yang paling selamat selepas ini ialah Menteri yang tidak membuat apa-apa keputusan. Tidak tandatangan, tidak ambil risiko, tidak buat pelaburan dan tidak cuba melakukan sesuatu yang baharu,” katanya.
Menurut Suraya, keadaan sedemikian akhirnya boleh mewujudkan budaya pentadbiran yang terlalu takut mengambil keputusan atau decision paralysis, khususnya dalam perkara yang secara semula jadinya mempunyai elemen risiko komersial.
Suraya bangkit perbandingan dengan isu KWAP-eFishery
Suraya turut membangkitkan kontroversi pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan bahawa pelaburan KWAP dalam eFishery telah melalui proses penilaian dan tadbir urus, termasuk pengurus dana profesional, kajian serta kelulusan panel pelaburan dan lembaga.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, pada masa sama menegaskan bahawa sekiranya terdapat unsur rasuah atau penipuan, perkara itu tetap perlu disiasat dan tindakan sewajarnya diambil.
Suraya berkata prinsip bahawa sesuatu pelaburan boleh gagal walaupun telah melalui proses profesional merupakan prinsip yang munasabah, namun ia mesti diaplikasikan secara konsisten.
“Kalau sebuah pelaburan di bawah institusi kerajaan boleh rugi tanpa menjadikan Menteri Kewangan seorang penjenayah, prinsip yang sama mesti diberikan kepada Menteri lain.
“Struktur KWAP dan Tabung Haji mungkin tidak sama. Tetapi prinsip keadilannya sama.
“Kerugian pelaburan tidak boleh dengan sendirinya menjadi bukti niat jenayah,” katanya.
“Jika ada dishonesty, buktikan”
Bagaimanapun, Suraya menegaskan pendiriannya bukan bermaksud seseorang menteri harus diberikan kekebalan daripada tindakan undang-undang.
Sebaliknya, katanya, sekiranya terdapat bukti seseorang menteri menerima keuntungan peribadi, mengarahkan pelaburan bagi memberi manfaat kepada pihak tertentu, menyembunyikan fakta material, memaksa lembaga meneruskan transaksi atau mengetahui sesuatu transaksi merupakan penipuan tetapi tetap mengarahkannya, perkara tersebut wajar dibuktikan di mahkamah.
“Kalau pendakwaan mempunyai bukti bahawa Jamil Khir menerima keuntungan peribadi, mengarahkan pelaburan itu untuk memberi manfaat kepada pihak tertentu, menyembunyikan fakta, memaksa lembaga meneruskan transaksi atau mengetahui pelaburan itu suatu penipuan tetapi tetap mengarahkannya, maka kemukakan bukti itu.
“Itu perkara lain,” katanya.
Namun, beliau memberi amaran sekiranya tanggungan jenayah akhirnya ditentukan semata-mata berdasarkan kedudukan seseorang menteri sebagai pihak terakhir yang memberikan kelulusan sebelum sesuatu pelaburan mengalami kerugian, ia boleh menghasilkan precedent yang membawa implikasi besar kepada keseluruhan sistem pentadbiran negara.
“Hari ini Jamil Khir. Esok seorang Menteri Kewangan. Lusa seorang Perdana Menteri.
“Selepas itu mana-mana Menteri yang pernah meluluskan projek, pelaburan, jaminan atau keputusan komersial kerajaan yang tidak menjadi seperti yang dirancang,” katanya.
Suraya berkata isu sebenar bukan sama ada seseorang menyokong atau menolak Jamil Khir, sebaliknya standard undang-undang yang mahu ditetapkan terhadap semua pembuat keputusan kerajaan.
“Adakah kita mahu menghukum perbuatan yang benar-benar tidak jujur, atau kita mahu menghukum keputusan yang hanya kelihatan salah selepas kita mengetahui apa yang berlaku beberapa tahun kemudian?
“Undang-undang jenayah tidak sepatutnya berfungsi melalui hindsight.
“Kalau ada dishonesty, buktikan dishonesty. Kalau ada personal benefit, buktikan personal benefit. Kalau ada arahan tidak sah, buktikan arahan itu.
“Tetapi jangan jadikan kerugian pelaburan sebagai pengganti kepada bukti niat jenayah,” katanya.
Menurut beliau, persoalan berkenaan akhirnya bukan sahaja mempunyai implikasi kepada Jamil Khir, tetapi kepada mana-mana menteri yang perlu membuat keputusan melibatkan risiko, pelaburan dan kepentingan negara pada masa hadapan. – The Malaysian Desk

Foto: FB Suraya Yaacob


Perbincangan