KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Haji Ismail Lasim, menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat di Masjid Kariah Beting, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, di sini, hari ini.
Beliau berkata, masjid bukan sekadar menjadi pusat ibadah dan penyatuan ummah, malah berperanan penting dalam mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, khutbah Jumaat bertajuk Membenteng Jiwa dengan Solat mengingatkan umat Islam bahawa solat bukan sekadar kewajipan, sebaliknya asas membentuk kekuatan jiwa, memelihara keimanan dan membina akhlak mulia.
Katanya, penghayatan terhadap ibadah solat seharusnya membentuk peribadi yang menjauhi sifat sombong, kebencian dan kezaliman, selain menghormati hak setiap manusia serta berlaku adil.
Beliau turut berkongsi pesanan khatib bahawa sujud mendidik manusia mengawal hawa nafsu, khususnya keinginan untuk mendapatkan pujian, penghormatan dan keutamaan.
Ismail berharap umat Islam terus istiqamah dalam ibadah, memelihara akhlak dan menjadi insan yang membawa kebaikan kepada masyarakat.


Perbincangan