The Malaysian Desk

News – Analysis – Perspective

Berita

Tuanku Muhriz Ingkar, Henti Laksana Titahnya Selepas 19 April – Pesan Undang Yang Empat

SEREMBAN: Undang Yang Empat Negeri Sembilan (yang asal) melalui kenyataan media bertarikh 2 Oktober 2026 meminta Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa Persekutuan mengambil maklum pendirian mereka bahawa, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, menurut tafsiran mereka terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan atau UUTKNS, ialah Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar.

Kenyataan bersama itu mendakwa keputusan berkaitan takhta sudah ditentukan berdasarkan Perkara 10, 11 dan 29 UUTKNS.

Mereka turut menyeru Perdana Menteri dan Peguam Negara mengambil maklum bahawa konsep “Raja” di Negeri Sembilan menurut Perkara 28 UUTKNS merujuk kepada Yang di-Pertuan Besar bersama Pembesar Memerintah dan bukannya Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian.

Undang Yang Empat turut meminta kerajaan negeri lain mengambil maklum keunikan sistem beraja Negeri Sembilan berdasarkan UUTKNS.

Kenyataan itu turut menyebut tentang Undang Yang Empat mempersoalkan keengganan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk berundur dan berhenti melaksanakan fungsi kuasa kedaulatan sebagai Yang di-Pertuan Besar, selepas apa yang didakwa mereka sebagai penurunan takhta yang telah sempurna dari sudut undang-undang dan pentadbiran.

“Apa yang berlaku kini ialah keingkaran Tuanku Muhriz untuk berundur dan berhenti melaksanakan fungsi kuasa kedaulatan Raja Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.

Dalam seruan yang lebih khusus, Undang Yang Empat juga meminta Setiausaha Kerajaan Negeri serta seluruh penjawat awam Negeri Sembilan mematuhi proklamasi Perkara 10 dan tidak melaksanakan sebarang titah, pelantikan atau arahan yang dikeluarkan Tuanku Muhriz selepas 19 April 2026, menurut pendirian yang dinyatakan dalam dokumen itu.

Mereka turut menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan supaya menjunjung adat dan UUTKNS serta memberikan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar yang mereka anggap sah.

Pendirian tersebut merupakan perkembangan yang ketara dalam pertikaian kerana sebelum ini Dewan Keadilan dan Undang (DKU) mengambil pendirian bertentangan dengan menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar dan meminta pegawai kerajaan negeri terus mengiktiraf baginda.

Undang Yang Empat berkata keputusan yang dibuat bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya didakwa dibuat dengan berat hati bagi memelihara UUTKNS, adat pusaka dan perpaduan Negeri Sembilan.

“Undang Yang Empat tidak membuat keputusan ini dengan mudah. Ia dibuat dengan berat hati, demi memelihara Undang-Undang Tubuh, adat pusaka dan perpaduan Negeri Sembilan yang dibina di atas perjanjian dan pengorbanan nenek moyang kita.

Adat dijunjung, pusaka dipelihara,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *