The Malaysian Desk

News – Analysis – Perspective

Politik

PRN Johor Bukan Penentu Nasib Najib – BN

Dakwaan Pakatan Harapan (PH) bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mempunyai kaitan dengan pembebasan Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai naratif yang tersasar daripada realiti.

Menurut kenyataan itu, PRN merupakan medan demokrasi bagi rakyat memilih kerajaan negeri, bukannya platform untuk menentukan keputusan mahkamah atau proses pengampunan yang berada di bawah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Najib ketika ini sedang melalui proses perundangan yang berasingan dan sebarang keputusan mengenai status beliau tertakluk kepada undang-undang.

“Undi rakyat di Johor tidak akan mengubah perjalanan proses tersebut,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut mendakwa sentimen dalam kalangan sebahagian rakyat yang mahu Najib dibebaskan wujud kerana mereka membuat perbandingan antara keadaan ekonomi semasa dengan tempoh beliau menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, ramai masih mengingati tempoh kos sara hidup yang dianggap lebih terkawal, harga minyak yang lebih stabil serta pelbagai bantuan kebajikan yang dinikmati rakyat ketika itu.

Justeru, kenyataan Exco Pemuda UMNO, Datuk Nazifuddin Mohd Najib bahawa kemenangan besar BN di Johor menjadi isyarat rakyat mahu Najib diampunkan disifatkan sebagai pandangan yang lahir daripada sentimen tersebut.

“Sama ada semua orang bersetuju atau tidak, realitinya tanggapan itu terus wujud. Tetapi PH dengan kepakarannya memanipulasi kenyataan itu dengan maksud yang berbeza,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut mendakwa rakyat yang bercakap mengenai Najib sebenarnya membuat perbandingan terhadap pengalaman hidup dahulu dengan keadaan semasa, bukannya menganggap kemenangan BN di Johor akan membawa kepada pembebasan beliau secara automatik.

Pada masa sama, PH didakwa tersilap percaturan apabila mengangkat isu itu sebagai sebahagian daripada kempen pilihan raya dengan harapan mengulangi strategi yang digunakan pada Pilihan Raya Umum 2018.

Menurut kenyataan itu lagi, landskap politik negara telah banyak berubah berbanding lapan tahun lalu dan persepsi masyarakat terhadap Najib juga tidak lagi sama seperti ketika itu.

“Kemenangan BN di Johor adalah keputusan demokrasi rakyat Johor, manakala soal Najib pula tertakluk sepenuhnya kepada proses undang-undang,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *