Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Dokumen Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang disifatkannya tidak tepat serta berpotensi mengelirukan rakyat dan pelabur.
Onn Hafiz berkata, walaupun beliau bukan bertaraf Perdana Menteri, setiap kenyataan yang dibuat oleh pemimpin nombor satu negara seharusnya berasaskan fakta yang tepat.
Menurutnya, tidak wajar apabila Anwar memberi gambaran bahawa Pelan Induk JS-SEZ masih perlu menunggu persetujuan Singapura atau ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.
“Hakikatnya, Pelan Induk JS-SEZ ini adalah dokumen Kerajaan Malaysia. Ia tidak memerlukan kelulusan Kerajaan Singapura, sebaliknya hanya proses libat urus serta maklum balas daripada pihak Singapura, dan proses itu telah pun selesai.
“Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau menegaskan, kenyataan yang menggambarkan pelan induk itu masih perlu menunggu persetujuan pada Leaders’ Retreat serta memerlukan tandatangan kedua-dua Perdana Menteri adalah tidak tepat.
Onn Hafiz berkata, teguran tersebut bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya merupakan tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan pelaksanaan inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada Johor berjalan mengikut jadual.
Katanya, pelancaran Pelan Induk JS-SEZ perlu dipercepatkan bagi memberi kepastian dasar serta meningkatkan keyakinan pelabur.
“Ramai pelabur yang bertanya dan menantikan pelancaran pelan induk ini. Ia akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di JS-SEZ, di mana limpahan manfaatnya juga akan dirasai oleh Kerajaan Pusat untuk kebaikan Bangsa Johor dan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa kenyataan yang tidak tepat mengenai JS-SEZ boleh memberi kesan terhadap persepsi pelabur serta menjejaskan keyakinan terhadap projek strategik berkenaan.
“Pada pandangan Perdana Menteri, saya mungkin tidak cerdik, tetapi lebih merisaukan jika Perdana Menteri dilihat tidak teliti dalam membuat kenyataan yang tidak tepat,” katanya.





