Barisan Nasional (BN) akan terus memberi tumpuan kepada usaha menyantuni pengundi dalam kalangan ahli parti, penyokong gabungan serta pengundi atas pagar sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun menghormati strategi PAS yang mengarahkan penyokongnya mengundi calon BN di kerusi tertentu, keputusan BN untuk bergerak secara solo dibuat berdasarkan pertimbangan parti sendiri.
“Mana-mana parti berhak mengemukakan cadangan sama ada berbentuk langkah taktikal, namun keputusan untuk bergerak solo dibuat berdasarkan pertimbangan parti.
“Bukan kerana kita mahu membenci mana-mana pihak, sebaliknya kita mahu memberi tumpuan kepada usaha menyantuni pengundi daripada kalangan ahli parti, ahli parti-parti komponen BN, pengundi di kelompok pertengahan serta penyokong yang bersimpati dengan perjuangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian RISDA Agro Majestic di Pontian pada Sabtu.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengarahkan ahli dan penyokong parti itu supaya mengundi calon UMNO dan BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor.
Sebagai timbal balas, beliau berharap penyokong BN memberi sokongan kepada calon PAS yang bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengulas hubungan BN dengan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen, Ahmad Zahid menegaskan kedua-dua gabungan kekal profesional walaupun bertanding sesama sendiri di Johor.
“Saya ingin sahkan hubungan BN dan PH sangat-sangat baik dan kita sangat profesional.
“Kita membezakan isu-isu peringkat nasional yang harus kita tangani bersama sebagai anggota Jemaah Menteri dengan isu lain di peringkat negeri,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu diterjemahkan melalui kempen yang matang tanpa serangan peribadi antara kedua-dua gabungan.
“Antaranya kita tidak menyerang satu sama lain walaupun kita berada di gelanggang yang sama di Johor dan selepas ini di Negeri Sembilan.
“Jika ada yang tersasar daripada pihak sana atau pihak sini, kita harus mengendurkan keadaan itu. Yang penting, demokrasi ini harus diterjemahkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.





