KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berkaitan pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, serta dakwaan kewujudan mafia korporat dalam agensi berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan ketika ini memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mendapatkan fakta yang lengkap dan sahih.
Menurut beliau, proses siasatan itu perlu berlangsung secara bebas, telus dan menyeluruh mengikut lunas undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
Azalina berkata, sebarang tindakan susulan hanya wajar dibuat berpandukan hasil siasatan bagi memastikan keputusan kerajaan berasaskan fakta, keadilan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Kerajaan sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan penubuhan RCI atau apa-apa mekanisme lain yang bersesuaian sekiranya didapati perlu demi kepentingan awam,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, lapor Utusan pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta kerajaan menyatakan sebab RCI tidak ditubuhkan berhubung isu pemilikan saham Azam yang didakwa melebihi had pegawai awam, selain dakwaan kewujudan mafia korporat dalam SPRM.
Azalina berkata, sebarang pertimbangan berhubung cadangan penubuhan RCI akan dibuat berdasarkan proses undang-undang, fakta, dapatan dan perkembangan semasa hasil siasatan pihak berkuasa.
Jelas beliau, penubuhan RCI tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan perlu melalui tatacara tertentu.
Proses itu bermula dengan penyediaan Memorandum Jemaah Menteri oleh kementerian peneraju sebelum mendapat kelulusan Kabinet dan seterusnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.
Sekiranya diperkenankan, penubuhan RCI akan melibatkan penetapan terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan, yang kemudian dimuktamadkan melalui pewartaan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.
Azalina turut menjelaskan bahawa perjalanan RCI adalah berdasarkan peruntukan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, manakala laporan yang disediakan perlu dikemukakan terlebih dahulu kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum melalui formaliti lain, termasuk pembentangan kepada Jemaah Menteri.
Beliau menegaskan, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat dengan menjaga prinsip kedaulatan undang-undang, integriti proses siasatan serta kepentingan awam.
Sumber asal: Utusan
Disusun semula oleh: The Malaysian Desk





