The Malaysian Desk

News – Analysis – Perspective

Politik

Pemimpin PKR Pahang Kesal Anwar “Diboo” Ketika Sambutan FELDA

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Norman Daud meluahkan rasa kesal susulan insiden Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diboo ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Norman berkata, beliau kecewa dengan layanan yang diterima Perdana Menteri dalam program tersebut.

Menurutnya, walaupun terdapat pihak yang tidak menyokong Anwar, perkara itu tidak sepatutnya diterjemahkan melalui tindakan yang disifatkan sebagai kurang ajar terhadap pemimpin negara.

“Saya marah dengan layanan yang diterima oleh PMX semalam. Tak nak sokong tak apa, tapi jangan balas kebaikan orang dengan bersikap kurang ajar,” katanya.

Norman turut mendakwa Anwar telah meluluskan banyak bantuan kepada peneroka FELDA, namun masih terdapat segelintir warga FELDA yang bertindak keterlaluan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, tidak semua warga FELDA bersikap sedemikian, sebaliknya insiden itu didakwa melibatkan segelintir pihak yang terlalu taksub dengan politik kepartian.

“Saya tahu tak semua warga FELDA begitu, tapi ada segelintir yang jenis pentaksub parti ini yang payah. Berpolitik tak mengira tempat,” katanya lagi.

Terdahulu, Norman mendakwa insiden ucapan Perdana Menteri diboo bukan sesuatu yang mengejutkan kerana FELDA merupakan antara kawasan yang sinonim sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Namun, beliau tetap menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar memandangkan Anwar hadir dengan niat baik untuk menyampaikan berita gembira kepada peneroka.

Dalam hantaran sama, Norman turut mendakwa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri pada sambutan tersebut.

Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan Pahang ketika ini terbentuk dengan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH).

“Tak mengapalah pasal itu, saya rasa PMX pun tak harapkan ucapan terima kasih,” katanya.

Norman turut mengaitkan masalah FELDA dengan penubuhan FGV ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menurutnya menjadi antara punca isu dalam FELDA.

Sumber asal: Mynewshub
Sumber info/foto: Akaun media sosial Norman Daud
Disusun semula oleh: The Malaysian Desk

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *