The Malaysian Desk

News – Analysis – Perspective

Politik

“Kalau Lebih Awal, Lebih Baik” — Ahmad Zahid Mahu PRU16 Lebih Awal

SHAH ALAM: UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpandangan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) wajar diadakan lebih awal sebelum tempoh penggal Parlimen berakhir.

Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pilihan raya lebih awal membolehkan mandat baharu daripada rakyat diperoleh untuk menentukan hala tuju pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, bagaimanapun UMNO dan BN tetap bersedia menghadapi PRU16 sekiranya pilihan raya hanya diadakan selepas tamat tempoh penggal semasa.

“Pada hemat saya, kalau pilihan raya umum diadakan lebih awal, itu lebih baik kerana mandat rakyat dapat kita peroleh.

“Namun, jika penggal ini berterusan sehingga penghujung tempoh atau jeda waktunya, kita juga bersedia menghadapinya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama wartawan Media Prima Berhad (MPB), di sini.

Ahmad Zahid berkata, tempoh yang masih berbaki perlu dimanfaatkan UMNO dan BN untuk terus mendekati rakyat serta menangani isu yang menjadi perhatian mereka.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan parti berkenaan kekal relevan dengan perubahan landskap politik dan geopolitik semasa.

Penggal Parlimen ke-15 dijangka berakhir sekitar Disember 2027. Berdasarkan peruntukan sedia ada, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen, dengan tempoh maksimum selepas tamat penggal boleh membawa kepada sekitar Februari 2028.

Manfaat, mudarat jadi ukuran kerjasama

Mengulas kemungkinan kerjasama UMNO dan BN dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), Ahmad Zahid berkata keputusan tidak dibuat berdasarkan kecenderungan kepada mana-mana gabungan semata-mata.

Sebaliknya, katanya, prinsip manfaat dan mudarat akan menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan sebarang bentuk kerjasama politik.

Beliau berkata pendekatan sama digunakan ketika menentukan strategi UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

“Di Johor, kita sanggup bergerak solo kerana landskap politik di negeri itu menghendaki demikian. Tetapi di Negeri Sembilan, kita melihat manfaat lebih besar sekiranya kita bersama parti gabungan lain.

“Kita akan melihat apakah mudaratnya jika kita bersama atau tidak bersama dengan parti lain,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, setiap keputusan politik perlu dinilai berdasarkan potensi keuntungan dan kerugian kepada parti, termasuk kedudukan politik selepas sesuatu kerjasama dilaksanakan.

Beliau berkata perkiraan itu turut memberi ruang kepada kepimpinan UMNO dan BN di peringkat negeri untuk menentukan bentuk rundingan yang paling sesuai dengan keadaan setempat.

Akar umbi mahu perpaduan Melayu

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata suara akar umbi turut diambil kira dalam menentukan hala tuju kerjasama politik UMNO dan BN.

Katanya, terdapat keinginan dalam kalangan akar umbi supaya usaha memperkukuh perpaduan orang Melayu diberikan keutamaan.

“Justeru, kita menjadikan perkara itu sebagai keutamaan untuk melakukan sesuatu termasuk kerjasama rentas gabungan bagi mewarnai masa depan politik kita,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keperluan memperkukuh perpaduan Melayu perlu bergerak seiring dengan realiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Katanya, kepelbagaian masyarakat perlu dijadikan asas dalam menghadapi landskap politik yang semakin kompleks pada dekad akan datang.

“Kita juga harus mengakui hakikat kemajmukan di negara kita dan menjadikannya sebagai landasan untuk melalui liku-liku politik yang semakin kompleks,” katanya.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *