The Malaysian Desk

News – Analysis – Perspective

Berita

Pengecualian Lesen Penjaja Usaha Bantu Periuk Nasi Rakyat – Siow

SEREMBAN: Keputusan Kerajaan Negeri Sembilan mengecualikan bayaran lesen penjaja mulai 1 Januari 2027 disifatkan sebagai langkah yang mengambil kira suara serta kepentingan golongan penjaja dan peniaga kecil.

Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Siow Kong Choon, berkata inisiatif berkenaan bukan sekadar pengecualian bayaran lesen, sebaliknya usaha membantu mengurangkan tekanan kos yang ditanggung golongan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan itu wajar dihargai kerana penjaja dan peniaga kecil merupakan antara kumpulan yang berdepan pelbagai cabaran dalam menguruskan perniagaan serta mengekalkan sumber pendapatan.

“Bagi saya, keputusan ini bukan sekadar soal pengecualian bayaran lesen. Ia adalah usaha membantu periuk nasi rakyat.

“Kita memahami golongan penjaja dan peniaga kecil berdepan pelbagai tekanan kos. Maka, setiap ruang yang boleh membantu mengurangkan beban mereka perlu kita manfaatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, inisiatif berkenaan merangkumi pelbagai kategori penjaja termasuk penjaja pasar tani, kereta tolak, berpayung, berjentera dan trak makanan (food truck).

Siow berkata, sebagai Exco yang turut bertanggungjawab terhadap kerajaan tempatan, beliau melihat peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan hanya berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan.

Sebaliknya, katanya, PBT perlu memastikan dasar yang diputuskan kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan baik serta memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat akar umbi.

Dalam perkembangan sama, beliau menyambut baik keputusan kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan bayaran tambahan konservasi di Taman Eko Rimba di seluruh Negeri Sembilan.

Katanya, pendekatan kerajaan negeri jelas iaitu memastikan pembangunan bergerak seiring dengan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan mendengar. Kerajaan bertindak. Manfaatnya mesti dirasai rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan PBT dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap keputusan Kerajaan Negeri Sembilan dilaksanakan secara tersusun serta memberi impak positif kepada rakyat.

“Saya akan terus bekerja bersama PBT dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap keputusan Kerajaan Negeri dilaksanakan dengan baik, tersusun dan memberi impak positif kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *