SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan Masyarakat Negeri Sembilan (MANES) sebagai pendekatan baharu untuk mendekati, mendengar, membantu dan memperkasa rakyat, khususnya membabitkan wanita, kanak-kanak dan keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, YB Puan Siti Nur Umaira Dato’ Haji Hasim, berkata MANES membangunkan ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh, mampan dan inklusif.
Beliau berkata, pendekatan itu diterjemahkan menerusi lima inisiatif utama iaitu MANES @ Suara Kita, Kembara Kasih MANES, MANES Prihatin, MANES Emosi dan MANES @ Dult Je!
“MANES @ Suara Kita membawa perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih dekat melalui penempatan pegawai di setiap DUN, manakala Kembara Kasih MANES membawa pendekatan turun padang untuk bertemu masyarakat serta mengenal pasti keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, MANES Prihatin menggunakan pendekatan dari rumah ke rumah, manakala MANES Emosi memberi fokus kepada kesejahteraan emosi dan mental keluarga.
MANES @ Dult Je! pula memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan serta peluang menjana pendapatan.
Siti Nur Umaira berkata, pelaksanaan MANES mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat bukan sahaja menerima bantuan, tetapi turut diberikan ruang dan sokongan untuk menjadi lebih berdikari.
“Bagi kita, tiada rakyat yang terlalu jauh untuk disantuni. MANES mahu dekat dengan rakyat, memahami keperluan mereka dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus pembangunan Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, sebanyak RM532,704 bantuan disampaikan bagi menyokong usaha kebajikan masyarakat.
Daripada jumlah itu, RM339,000 diperuntukkan menerusi Subsidi Yuran Pembelajaran Autisme kepada 26 pusat pembelajaran autisme, manakala RM193,704 disalurkan sebagai Bantuan Kewangan Kerajaan kepada tiga Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).
Beliau berkata, bantuan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong kanak-kanak yang memerlukan pendidikan serta organisasi yang menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat.
“Apabila wanita diperkasa, keluarga menjadi lebih kuat. Apabila keluarga kuat, masyarakat akan lebih sejahtera.
“Itulah asas MANES – kerajaan yang mendengar, turun padang, prihatin dan memperkasa rakyat,” katanya.


Perbincangan