Kemelut NS: UMNO Gesa Kembali Kepada Punca, Hormati Rekod Dan Mandat Rakyat
SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan menggesa semua pihak melihat keseluruhan rentetan peristiwa yang mencetuskan kemelut institusi dan pentadbiran negeri sebelum membuat kesimpulan terhadap perkembangan semasa.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, YB Muhammad Sufian Maradzi, berkata peristiwa pada 17 April 2026 perlu diberi perhatian kerana ia antara titik penting dalam perkembangan kemelut berkenaan.
Beliau berkata, persoalan berkaitan minit Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada tarikh itu masih menjadi perkara asas yang perlu diperjelaskan.
“Persoalan mengenai Minit Mesyuarat DKU 17 April 2026 kekal fundamental. Mengapa rekod yang menjadi asas kepada keputusan sebesar itu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku?
“Sekiranya rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada Mei lalu, enam individu termasuk Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mendapatkan salinan minit Mesyuarat Khas DKU yang berlangsung pada 17 April 2026.
Dalam kenyataan sama, Muhammad Sufian berkata adalah tidak wajar untuk membincangkan kesan kemelut semasa tanpa melihat bagaimana pertikaian itu bermula.
Beliau mendakwa pertikaian berkenaan menjadi antara asas kepada hilangnya keyakinan UMNO/BN terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun.
Katanya, pendirian berkenaan bukan penolakan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan, sebaliknya berkaitan cara krisis institusi dan pentadbiran negeri dikendalikan pada ketika itu.
“Apabila penyelesaian politik tidak dicapai, beliau sendiri yang memilih DUN untuk dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat.
“Pilihan raya telah berlangsung, rakyat telah membuat keputusan dan sebuah kerajaan baharu telah dibentuk melalui proses demokrasi yang sah. Mandat tersebut wajib dihormati sebagaimana semua pihak sebelum ini menuntut supaya kehendak rakyat dihormati,” katanya.
Muhammad Sufian turut menggesa kerajaan negeri diberikan ruang untuk menyelesaikan kemelut berkenaan secara tertib, berperlembagaan dan penuh adab.
Katanya, perkara membabitkan institusi diraja, adat dan struktur pemerintahan Negeri Sembilan tidak seharusnya dijadikan medan untuk mencipta tekanan politik atau mendahului proses yang sedang berjalan.
Beliau turut menggesa KEADILAN Negeri Sembilan, yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan berhubung kemelut institusi dan pentadbiran negeri, supaya melihat keseluruhan naratif serta rentetan peristiwa yang berlaku.
“Jangan memilih hanya sebahagian daripada naratif yang sesuai dengan kepentingan politik semasa.
“UMNO Negeri Sembilan menyeru rakyat agar melihat rentetan peristiwa yang berlaku bermula di zaman pentadbiran Kerajaan pimpinan PKR dan bagaimana kita sampai ke tahap ini sebelum meletakkan kesalahan terhadap kerajaan yang kini sedang berusaha menyelesaikannya,” katanya.
Muhammad Sufian berkata kerajaan negeri kini memikul tanggungjawab berat untuk menyelesaikan kemelut yang diwarisi dengan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih, keputusan mahkamah serta bidang kuasa institusi yang sah.
“Semua pihak wajib menjaga bahasa dan tindakan supaya tidak mendahului proses tersebut,” katanya.





