Sebelum Mudah Menyebut “Derhaka”, Fahami Dulu Negeri Sembilan
Ramai cuba memahami kemelut Negeri Sembilan menggunakan kaca mata sistem beraja di negeri-negeri lain.
Di situlah kekeliruan bermula.
KeDirajaan Negeri Sembilan mempunyai sejarah dan struktur yang tersendiri. Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol mempunyai Undang masing-masing, manakala Seri Menanti mempunyai pemerintahnya sendiri. Negeri Sembilan moden kemudiannya berkembang melalui penyatuan struktur-struktur tersebut.
Sebab itu Undang Yang Empat bukan pembesar istana seperti difahami ramai. Baginda Yang Teramat Mulia (YTM) merupakan Raja Pemerintah Bersama diiktiraf undang-undang persekutuan dan negeri.
Sistem ini sejak dahulu dibentuk oleh Adat, Perjanjian, Sumpah dan Muafakat.
Yang di-Pertuan Besar pula bukan semata-mata mewarisi takhta secara automatik, tetapi dipilih oleh Undang Yang Empat.
Sejarah moden menunjukkan perkara ini.
Pada 1960, Tuanku Munawir dipilih oleh Undang Yang Empat. Baginda merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama selepas Undang-Undang Tubuh NS 1959 termaktub.
Apabila baginda mangkat pada 1967, takhta tidak secara automatik turun kepada putera baginda; Undang Yang Empat bermuafakat memilih Tuanku Ja’afar.
Dan proses sama juga berlaku pada 2008 apabila Tuanku Muhriz dipilih oleh Undang Yang Empat sebagai YDPB ke-11.
Satu perkara lagi yang sering terlepas pandang ialah akar kuasa dalam Adat Perpatih bergerak dari bawah ke atas:
Anak Buah → Buapak → Lembaga → Undang → Yang di-Pertuan Besar
Sebab itu hubungan dalam KeDirajaan Negeri Sembilan tidak boleh disederhanakan kepada formula “Raja di atas, pembesar di bawah.”
Saya lebih mudah memahaminya begini:
Kuasa naik dari bawah.
Amanah turun dari atas.
Setiap tingkat mempunyai kuasa, tetapi setiap kuasa datang bersama amanah dan batas.
Di sinilah kita juga perlu berhati-hati menggunakan istilah “DERHAKA”.
Dalam pemahaman biasa, derhaka sering dibayangkan sebagai orang di bawah melawan pemerintah di atas. Tetapi dalam kerangka Adat Perpatih, hubungan kuasa lebih kompleks.
Yang di-Pertuan Besar, Undang, Lembaga, Buapak dan Anak Buah masing-masing berada dalam susunan adat serta tanggungjawab tertentu.
Maka, menjalankan fungsi yang diberikan oleh adat atau perlembagaan tidak dengan sendirinya boleh dilabel sebagai penderhakaan.
Jika timbul pertikaian tentang kuasa atau cara kuasa itu dilaksanakan, persoalan itu perlu dijawab melalui adat, Undang-Undang Tubuh dan proses undang-undang yang berkenaan.
Malangnya, dimensi ini kadangkala tenggelam dalam komentar semasa — termasuk komentar yang dibuat atas nama kepakaran tetapi tanpa penelitian mencukupi terhadap sejarah dan struktur unik Negeri Sembilan.
*Gelar cendekia tidak menggantikan penelitian.
*Populariti tidak menggantikan autoriti.
*Emosi tidak menggantikan fakta.
Sebelum mudah mengatakan seseorang “derhaka”, tanyakan dahulu:
*Siapa diberi kuasa?
*Dari mana kuasa itu datang?
*Apakah batasnya?
*Dan apakah amanah yang mengikatnya?
Adat sudah lama mengingatkan:
“Bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat.”
“Berjenjang naik, bertangga turun.”
Akhirnya, Negeri Sembilan tidak boleh difahami tanpa sejarahnya. Sejarahnya tidak boleh difahami tanpa adatnya.
Sebelum menghukum siapa derhaka, fahami dahulu siapa diberi kuasa — dan dari mana kuasa itu datang.
Dr Ikmal Hisham Md.Tah
Fakulti Undang-Undang UiTM
https://www.facebook.com/share/r/1PWe9CH4Lb/?mibextid=wwXIfr




