The Malaysian Desk

News – Analysis – Perspective

Politik

Zahid Ulas Hubungan BN & PH: Kami Bertanding, Tapi Tak Bermusuh

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hubungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Kerajaan Persekutuan kekal kukuh dan profesional walaupun kedua-dua gabungan sedang bersaing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, kepimpinan BN dan PH sentiasa membezakan tanggungjawab sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dengan persaingan politik di peringkat negeri.

“Hubungan kami BN dan PH adalah sangat-sangat baik. Saya ingin sahkan, sangat-sangat baik dan kita sangat profesional.

“Kita membezakan isu peringkat nasional yang harus kita tangani bersama-sama sebagai anggota Jemaah Menteri dengan isu lain pada peringkat negeri umpamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program RISDA Agro Majestic di Bandar Tenggara, Kota Tinggi pada Sabtu.

Ahmad Zahid berkata, kedua-dua gabungan komited mengekalkan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan dengan mengamalkan pendekatan kempen yang matang dan mengelakkan provokasi sepanjang PRN Johor.

Menurut beliau, BN dan PH mengambil pendirian untuk tidak menyerang antara satu sama lain secara melampau walaupun bertanding di gelanggang yang sama.

“Beberapa pendekatan telah kami lakukan, antaranya tidak menyerang satu sama lain walaupun kita berada di gelanggang di Johor khususnya dan selepas ini di Negeri Sembilan.

“Jika ada yang tersasul daripada pihak sana atau pihak sini, kita harus mengendurkan keadaan. Paling penting demokrasi harus diterjemahkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, formula kemenangan dalam landskap politik semasa bukan lagi bergantung kepada serangan terhadap lawan, sebaliknya ditentukan oleh kualiti calon yang diketengahkan kepada rakyat.

Katanya, parti-parti yang bertanding perlu memberi tumpuan kepada memperkenalkan calon yang berwibawa serta menawarkan penyelesaian kepada rakyat.

“Kita harus mempromosikan calon kita seperti di Panti, Dr Naqib Ghazali dan di Pasir Raja, Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Mereka ini yang harus kita promosikan, bukan menghentam parti atau calon lain,” katanya.

Seramai 172 calon disahkan bertanding dalam PRN Johor, dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *