KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Lee Ting Han, menyasarkan pembangunan sebuah kilang tekstil di kawasan itu yang dijangka mampu mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu.
Menurut Lee, projek berkenaan merupakan hasil kerjasama syarikat dari Singapura dan China, sekali gus dilihat mampu merancakkan pembangunan industri di Paloh.
Beliau berkata, usaha menarik pelaburan itu adalah sebahagian daripada perancangan untuk mewujudkan pembangunan lebih seimbang di kawasan berkenaan, memandangkan Paloh sudah lama tidak mempunyai kawasan perindustrian yang aktif.
“Kita telah berjaya tarik masuk sebuah syarikat hasil kerjasama Singapura-China untuk membina sebuah kilang tekstil.
“Sepanjang empat tahun ini, kita membantu proses penzoningan semula dan pertukaran syarat nyata tanah. Sekarang projek itu berada di fasa terakhir sebelum kerja-kerja pecah tanah dapat dilaksanakan,” katanya kepada Astro AWANI.
Lee berkata, sekiranya semua proses berjalan lancar, kerja-kerja pecah tanah bagi projek tersebut dijangka dapat dimulakan menjelang penghujung tahun ini.
Tambah beliau, kilang tekstil itu bukan sahaja dijangka memberi manfaat kepada penduduk DUN Paloh, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar daerah Kluang.
Pada PRN Johor kali ini, DUN Paloh mempunyai 27,966 pengundi berdaftar dan menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Kerusi tersebut ditandingi penyandang BN, Lee Ting Han; calon Pakatan Harapan (PH), Dr Ruban Arumugam; calon Perikatan Nasional (PN), D. Jeevakumar; serta calon Bebas, G. Kamaleswaren.
Pada PRN Johor 2022, Lee berjaya mempertahankan kerusi DUN Paloh dengan majoriti 3,176 undi selepas menewaskan Sheikh Umar Bagharib Ali dari PH, Selvendran Velu dari PN dan Aminuddin Johari dari Pejuang.
Sumber asal: Astro AWANI
Foto: Lee Ting Han
Disusun semula oleh: The Malaysian Desk





