SEREMBAN: Negeri Sembilan memerlukan pendekatan baharu dalam pentadbiran yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah membina asas kukuh bagi menghadapi cabaran masa depan.
Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Siow Kong Choon, berkata atas keperluan itu, beliau mengemukakan gagasan NS360 – Connected, Digital & Sustainable State bagi mewujudkan negeri yang lebih stabil, maju dan makmur menerusi pentadbiran cekap, berintegriti serta dekat dengan rakyat.
Katanya, NS360 berteraskan empat fokus utama yang memberi penekanan kepada aspek kewangan, kecekapan pihak berkuasa tempatan (PBT), pelancongan serta inovasi pentadbiran.
“Pertama, kita mahu memperkukuh kestabilan kewangan dan integriti melalui pengurusan hasil, tunggakan, perbelanjaan dan tadbir urus yang lebih telus serta berkesan,” katanya.
Beliau berkata, fokus kedua pula membabitkan transformasi budaya kerja PBT supaya lebih pantas, cekap, responsif dan berorientasikan penyelesaian.
“Rakyat tidak seharusnya berdepan birokrasi yang melambatkan urusan mereka,” katanya.
Menurutnya, fokus ketiga ialah memperkasa sektor pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan, dengan memberi perhatian menyeluruh terhadap aspek kebersihan, keceriaan, landskap, promosi serta pengalaman pelancong.
Fokus keempat pula ialah penubuhan Think Tank PBT Negeri Sembilan sebagai wadah menghimpunkan kepakaran, idea dan inovasi bagi mencari penyelesaian terhadap cabaran berkaitan hasil, kos, teknologi dan pentadbiran.
Siow berkata, kesemua pendekatan itu akhirnya mesti memberi kesan yang boleh dirasai rakyat.
“Matlamat akhirnya jelas — rakyat mesti merasai manfaatnya.
“NS360 bukan sekadar slogan. Ia adalah komitmen untuk membina pentadbiran yang lebih moden, cekap dan lestari demi Negeri Sembilan hari ini dan generasi akan datang,” katanya.





