SEREMBAN: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan sedia ada kekal sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa, kata Menteri Besar, Datuk Haji Ismail Lasim.
Beliau berkata, kerajaan negeri berpandangan bahawa sebarang tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian EXCO perlu dibuat berdasarkan nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar, selaras dengan tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Menurut Ismail, perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira Perkara 38(4), Perkara 38(5) dan Perkara 40(1) UUTKNS 1959, bukannya dibaca secara berasingan.
Katanya, Perkara 40(1) menetapkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran atau eksekutif di bawah Bahagian Kedua UUTKNS.
“Kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang EXCO di bawah Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan. Ia wajib dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).
“Ini bermakna, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ismail berkata, kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar dalam urusan pentadbiran pula hanya merangkumi perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri berpandangan tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar merupakan kekhilafan dari sudut perundangan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
Beliau turut menegaskan bahawa dirinya tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa memberikan nasihat berhubung pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Perkara 38(5).
“Oleh yang demikian, tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baharu kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan perkembangan terbaharu membabitkan kedudukan EXCO Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Ismail berkata Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran serta mandat rakyat dipelihara berdasarkan lunas undang-undang yang sah.
Beliau turut menegaskan bahawa tafsiran berkaitan sempadan kuasa eksekutif perlu diteliti secara harmoni dan menyeluruh berdasarkan keseluruhan kerangka UUTKNS 1959.





