The Malaysian Desk

News – Analysis – Perspective

Berita

“Kerajaan Negeri Tidak Pernah Dakwa Ada Kuasa Tentukan Takhta” – Ismail Lasim

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan dakwaan bahawa kerajaan negeri telah ‘menurunkan’ Yang di-Pertuan Besar adalah tidak tepat, dengan menjelaskan bahawa Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan beraja tersendiri berasaskan Adat Perpatih dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Besar bukan dipilih oleh Menteri Besar atau kerajaan negeri, sebaliknya UUTKNS memperuntukkan peranan khusus kepada Undang Yang Empat dalam proses pemilihan Yang di-Pertuan Besar.

“Tidak benar untuk menggambarkan seolah-olah Menteri Besar atau EXCO Kerajaan Negeri mempunyai kuasa secara unilateral untuk menentukan siapa yang menaiki atau meninggalkan takhta.

“Kerajaan negeri tidak pernah mendakwa mempunyai kuasa sedemikian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Ismail, kemelut membabitkan adat dan institusi beraja tidak seharusnya dipermudahkan sebagai pertikaian politik antara kerajaan negeri dengan Istana.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu mengambil alih tugas institusi adat dalam menentukan pertikaian berkaitan adat dan institusi raja.

Sebaliknya, katanya, perkara itu perlu diselesaikan berdasarkan UUTKNS, Adat Perpatih serta melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa masing-masing.

“Apa juga keputusan muktamad yang dibuat secara sah oleh institusi yang mempunyai bidang kuasa menurut adat dan Undang-Undang Tubuh akan dihormati kerajaan negeri,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Ismail berkata kemelut institusi adat dan raja ketika ini bukan berpunca daripada pentadbiran semasa, sebaliknya masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Beliau mendakwa kegagalan Menteri Besar ketika itu melaksanakan tanggungjawab sebagaimana diperuntukkan di bawah UUTKNS, termasuk keengganan menyempurnakan proses yang sepatutnya dilaksanakan, menyebabkan kemelut berlarutan.

“Kerajaan hari ini menerima mandat rakyat dengan majoriti lebih dua pertiga.

“Mandat tersebut membawa bersama suatu amanah besar untuk memulihkan kestabilan pentadbiran, mempertahankan keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta memelihara kemuliaan institusi adat dan raja yang menjadi tunjang identiti Negeri Sembilan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *