The Malaysian Desk

News – Analysis – Perspective

Berita

Pembatalan 10 EXCO N. Sembilan: 3 Asas Undang-Undang Dipersoal Peguam

SEREMBAN: Kesahan warta berhubung pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan dipertikaikan selepas seorang peguam mengemukakan sekurang-kurangnya tiga persoalan berdasarkan tafsirannya terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, berdasarkan penelitiannya terhadap warta yang diterbitkan hari ini, terdapat beberapa asas yang pada pandangannya boleh digunakan untuk mencabar kesahan pembatalan pelantikan berkenaan.

Warta itu menyatakan pelantikan 10 EXCO terbabit dibatalkan berkuat kuasa 20 September 2026 oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurut Hasnal, persoalan pertama berkaitan kapasiti Tuanku Muhriz untuk melaksanakan kuasa Yang di-Pertuan Besar pada tarikh pembatalan berkenaan.

Beliau berkata, ia timbul susulan proklamasi 19 April yang mendakwa menurunkan Tuanku Muhriz, yang sehingga kini masih menjadi pertikaian dari sudut undang-undang dan perlembagaan.

“Sekiranya proklamasi itu sah serta berkuat kuasa, baginda tidak lagi mempunyai kuasa perlembagaan untuk melaksanakan tindakan berkenaan,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini mengambil pendirian bahawa proklamasi berkenaan sah dan berkuat kuasa serta mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.

Persoalan kedua yang dibangkitkan Hasnal ialah tafsiran terhadap kuasa menamatkan pelantikan EXCO.

Menurut beliau, kuasa berkenaan adalah kuasa “Raja”, bukannya kuasa Yang di-Pertuan Besar yang boleh dilaksanakan secara bersendirian.

Beliau berpandangan istilah “Raja” dalam konteks UUTKNS merangkumi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

“Yang di-Pertuan Besar tidak boleh bertindak sendirian tanpa perkenan yang lain. Warta ini tidak mencerminkan bahawa Baginda bertindak sebagai Raja,” katanya.

Atas tafsiran itu, beliau berpendapat penamatan pelantikan EXCO perlu dilaksanakan melalui struktur institusi beraja Negeri Sembilan sebagaimana diperuntukkan UUTKNS, bukannya melalui tindakan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian.

Persoalan ketiga pula membabitkan keperluan nasihat Menteri Besar.

Hasnal berhujah kuasa menamatkan pelantikan EXCO perlu dilaksanakan oleh Raja atas nasihat Menteri Besar.

Menurutnya, Perkara XXXVIII(5) UUTKNS tidak seharusnya dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu ditafsirkan bersama peruntukan lain berkaitan pelaksanaan kuasa eksekutif negeri.

Pendirian itu selari dengan hujah Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, sebelum ini bahawa beliau tidak pernah dirujuk atau memberi nasihat berhubung pemberhentian mana-mana EXCO.

Ismail sebelum ini berhujah tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar merupakan kekhilafan dari sudut perundangan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Bagaimanapun, tafsiran berhubung perkara itu tidak sependapat dalam kalangan pengamal undang-undang.

Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff sebelum ini mengambil pendirian berbeza apabila menyatakan pembatalan pelantikan EXCO oleh Tuanku Muhriz adalah sah dan berperlembagaan berdasarkan Perkara XXXVIII(5), yang memperuntukkan seseorang anggota EXCO memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.

Istana Negeri Sembilan sebelum ini turut merujuk Perkara XXXVIII(5) sebagai asas pembatalan pelantikan 10 EXCO selepas mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan susulan tindakan dan kenyataan pada 15 September.

Menurut kenyataan Istana, kesemua EXCO terbabit mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos sebelum pelantikan mereka dibatalkan berkuat kuasa 20 September.

Pertikaian terbaharu itu menambah satu lagi persoalan dalam kemelut perlembagaan Negeri Sembilan, khususnya mengenai pihak yang mempunyai kuasa menamatkan pelantikan EXCO, sama ada kuasa itu boleh dilaksanakan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian serta sama ada nasihat Menteri Besar diperlukan.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *