KUALA LUMPUR: “Sebelum tuduh UMNO derhaka, pi tengok cermin dulu.”
Demikian tegas Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri ketika mengulas dakwaan bahawa UMNO menderhaka kepada institusi Raja dalam kemelut di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, keputusan mengenai kedudukan Raja Negeri Sembilan telah dibuat oleh Undang Yang Empat menerusi satu perisytiharan pada 19 April 2026, manakala Menteri Besar dan Exco, katanya, hanya berperanan melaksanakan keputusan berkenaan dari sudut pentadbiran.
Beliau mendakwa kerajaan PH terdahulu gagal mengambil tindakan terhadap keputusan itu sehingga kemelut berlarutan dan membawa kepada pilihan raya negeri.
“Keputusan asal tentang kedudukan Raja Negeri Sembilan telah dibuat oleh Undang Yang Empat melalui satu perisytiharan pada 19 April 2026. Bukan menteri besar dan exco yang membuat keputusan.
“Menteri besar dan exco hanya mahu melaksanakan perintah pentadbiran, tetapi kerajaan PH sebelum ini yang sebenarnya gagal bertindak,” katanya seperti dipetik UMNO Online.
Syed Mohd Johan turut mempersoalkan penggunaan istilah ‘derhaka’ terhadap UMNO apabila parti itu mempertahankan pelaksanaan keputusan yang didakwanya dibuat mengikut tatacara adat.
Beliau kemudian mengaitkan isu berkenaan dengan pendirian DAP terhadap keputusan pengampunan diraja membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, DAP pernah menyatakan pendirian politik berhubung keputusan berkenaan dan mengambil beberapa tindakan sebagai tanda bantahan.
“Jadi, kalau kamu tidak bersetuju dengan keputusan berkaitan institusi diraja, adakah itu tidak dianggap derhaka? Dalam kes Datuk Seri Najib, kalau bukan derhaka, apa namanya?” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa beliau tidak menyifatkan semua kritikan terhadap keputusan institusi diraja sebagai penderhakaan.
“Saya tidak mengatakan bahawa semua kritikan itu adalah derhaka. Saya cuma mahu mendedahkan perangai PH. Apabila mereka buat, namanya reformasi. Apabila orang lain buat, namanya penderhakaan dan penggulingan raja,” katanya.





